Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan pendiriannya menerima bekas ahli Umno menyertai Bersatu.

Pengerusi Bersatu itu turut berkata, perkara tersebut bukan luar biasa kerana beliau juga dulunya merupakan bekas pemimpin UMNO tapi dapat diterima DAP dan PKR.

“Saya merupakan bekas ahli UMNO (Presiden), parti itu adalah saya. Jika tidak mereka tidak akan benarkan saya membentuk parti,” katanya kepada media selepas merasmikan Sambutan 20 Tahun Muzium Kesenian Islam di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kritikan DAP dan PKR terhadapnya yang memutuskan menerima bekas ahli UMNO.

Kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu menyaksikan ramai ahlinya keluar daripada parti.

Terbaharu, tular sepucuk surat menunjukkan enam ahli Parlimen BN keluar daripada UMNO serta-merta hari ini. Surat berkenaan dialamatkan kepada Setiausaha Agung Tan Sri Annuar Musa.

Mengulas mengenai itu, Dr Mahathir berkata Bersatu menetapkan syarat untuk bekas ahli UMNO menyertai parti tersebut dimana mereka perlu mengisytiharkan sebagai pihak bebas dan perlu dilihat menyokong kerajaan.

"Selepas itu kita ada penilaian secara individu dan kemudian baru boleh masuk. Dalam UMNO ada yang baik, ada yang jahat, yang baik kita terimalah. Sudah tentu mereka kena bebas dari tuduhan jenayah."

Tegasnya lagi, bagi pemimpin dari parti sekutu DAP dan PKR yang tidak berpuas hati itu adalah bersifat peribadi.

"Dalam parti Bersatu pun ada yang suka ada yang tak suka, itu pandangan yang bersifat peribadi."