IPOH: Biar kepimpinan UMNO yang baharu memperbaiki segala hal yang berlaku dalam parti tanpa dipengaruhi oleh mana-mana bekas ahli.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, justeru sebarang keputusan berkaitan hal dalaman UMNO hendaklah diputuskan sahaja dalam kalangan individu yang masih bergelar ahli.

“Ini bukan bermakna kita sombong sampai orang lain tidak boleh cakap tentang hal orang lain. Akan tetapi janganlah ia sehingga (seolah-olah) mengadu domba atau menimbulkan provokasi. Cukuplah dengan apa yang telah kita lalui selama ini.

“Pada pandangan saya, kita kini sudah berada pada landasan yang betul dan segala perkara yang patut kita tinggalkan, telah kita tinggalkan. Malah proses pemutihan parti juga telah dijalankan.

“Justeru itu, biar kepimpinan UMNO yang baharu ini untuk memperbaiki segala kerosakan yang mungkin telah berlaku, dan kita bergerak ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) antara Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) dan Kotak Global Sdn Bhd bagi pelaksanaan Program Mahasiswa Perak Sejahtera 2030 di sini pada Ahad.

Saarani terdahulu diminta mengulas berkenaan kritikan-kritikan terhadap UMNO yang dibuat bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin Abu Bakar selepas dipecat daripada parti.

Sebelum itu, media melaporkan Pemuda UMNO Perak enggan melayan sebarang kritikan dibuat Khairy sebaliknya mahu fokus bekerja untuk memastikan orang muda kembali bersama UMNO.

Dalam pada itu, Saarani yang juga Menteri Besar Perak mengucapkan terima kasih kepada mana-mana individu terutama bekas ahli UMNO yang masih prihatin terhadap parti itu melalui sebarang pandangan peribadi. 

“Kepada mereka yang berada di luar UMNO, sama ada bekas ahli UMNO dan sebagainya, terima kasih saya ucapkan kerana masih lagi prihatin dan ada rasa cinta kepada UMNO.

“Akan tetapi biarlah UMNO yang membuat keputusan di atas apa juga tindak-tanduknya,” katanya lagi.