KUALA LUMPUR:Tan Sri Annuar Musa menggambarkan situasi semasa dalam parti sebagai tempoh bertenang bagi dirinya selepas beliau digugurkan daripada jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN).

“Ramai yang minta komen. Saya tiada apa komen buat masa ini. Tempoh bertenang..,” kata Menteri Wilayah Persekutuan itu menerusi Twitter.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan mengenai pemecatannya sebagai Setiausaha Agung BN pada Selasa.

Dalam hantaran di akaun media sosialnya itu, Ahli Parlimen Ketereh itu turut memuat naik gambar perbualannya bersama Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerusi WhatsApp selepas menerima khabar tentang pemecatannya.

“Saya diberitahu oleh media, saya dipecat sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional dan Setiausaha Agung Muafakat Nasional.

“Saya ucapkan ribuan terima kasih atas kesempatan berkhidmat di kedua-dua jawatan tersebut sebelum ini,” tulis Annuar kepada Zahid.

BACA: Annuar Musa dipecat serta-merta sebagai Setiausaha Agung BN

Menurut sumber UMNO, keputusan untuk menggugurkan Annuar dibuat oleh Zahid dalam mesyuarat UMNO pada Selasa.

Sebelum ini, Annuar menegaskan beliau sedia dipecat sekiranya kritikannya berkaitan isu penyatuan Melayu dan Islam tidak disenangi ahli serta pemimpin akar umbi parti berkenaan.

Susulan pemecatan itu, kedudukan Annuar diambil alih oleh Datuk Seri Ahmad Maslan.

BACA: Ahmad Maslan ganti Annuar Musa sebagai Setiausaha Agung BN