KUALA LUMPUR: Tiada sebarang laporan melibatkan salah laku mahupun rasuah membabitkan kesemua pimpinan Kerajaan Perpaduan yang mentadbir Malaysia sejak hampir enam bulan lalu. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini merupakan antara kejayaan Kerajaan Perpaduan yang komited menzahirkan tekad menolak amalan salah laku.

“Tiada satu pun laporan mengenai kecurangan oleh pimpinan Kerajaan Perpaduan dalam kegiatan ini (rasuah) dan ini rekod dalam sejarah.

“Kalau orang tanya apa hebatnya Kerajaan Perpaduan saya jawab pada pimpinannya yang bertekad untuk hentikan kerosakan amalan menyebabkan negara ini dihina oleh dunia. Ini kerana amalan untuk memperkayakan diri dan salah guna kuasa,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada sesi pimpinan utama Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad.

Ujar Anwar, kerajaan ketika ini hanya menerima serangan yang tidak berasas daripada pembangkang, selain mereka menggunakan isu pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk dijadikan senjata politik.

Tegasnya, pendirian Kerajaan Perpaduan adalah cukup jelas untuk menolak segala budaya terdahulu yang menggondol khazanah negara.

“Perpaduan ini untuk apa? Ada orang bersatu untuk dapat kukuhkan dan menyelamatkan mereka. Ada yang bersatu untuk membolehkan mereka meneruskan cara-cara lama (rasuah), memunggah kekayaan dan khazanah negara untuk sanak-saudara.

“Kita bersatu untuk tinggalkan kekacauan dan kerosakan yang lama dan membentuk Malaysia baharu yang berteraskan Madani dan tamadun bagi bangsa dan negara.

“Enam bulan kita memerintah, terima kasih kepada pimpinan Kerajaan Perpaduan kerana saudara bukan sahaja bersama dalam kerajaan, tetapi bersama dengan komitmen tegas dan keras untuk bina Malaysia Baharu,” katanya lagi.