KOTA KINABALU: Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menolak dakwaan bahawa beliau selaku Presiden Parti Warisan (Warisan) merestui tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Yusof Yacob meninggalkan parti.

Tegas beliau, tiada mana-mana presiden parti yang meredakan tindakan ahli parti yang mahu meninggalkan parti dan perjuangan Warisan.

"Saya tidak maklum niat dia di peringkat awal cuma malam semalam bila saya telefon sebelum saya balik dari Parlimen ke Kota Kinabalu, saya tanya dia (Yusof) oleh kerana saya dimaklumkan ada berita yang dia mahu keluar parti sebelum ini.

"Saya nampak keluar di berita bahawa ada keredaan daripada saya dan saya ingin maklumkan tiada presiden parti meredakan ahli keluar dari parti dan kenyataan (restui) ini tidak betul.

"Dia tiada nyatakan hasratnya kepada saya sebelum ini dan tiada perbincangan cuma bila saya hubunginya semalam dia luahkan bahawa dia akan meninggalkan parti," katanya pada sidang media di Pejabat Warisan di Kota Kinabalu pada Sabtu.

Selain itu, Mohd Shafie menambah, Warisan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Yusof susulan pengumuman keluar parti yang dibuat pada Jumaat.

[TERKINI] Sidang Media Presiden Warisan | 9 Okt 2021


Malah tegas Mohd Shafie, Surat Akuan Bersumpah dan video rakaman bersumpah yang dibuat Yusof sebelum Pilihan Raya Negeri Sabah 2019 lalu akan disiar kepada umum seperti yang berlaku di kawasan Dewan Undangan Negeri Sebatik pada Februari tahun ini.

"Kita ada semua surat akuan bersumpah dan video tersebut dan kita akan ambil tindakan undang-undang. Beliau tidak wajar menggunakan alasan keputusan ini dibuat demi meneruskan khidmat kepada Rakyat setempat.

"Ini kerana beliau sendiri sebelum ini telah diberi jawatan penting dalam Kabinet negeri iaitu sebagai Menteri Pendidikan dan Inovasi," katanya pada sidang media di Pejabat Warisan di Kota Kinabalu pada Sabtu.

BACA: Yusof Yacob tamatkan spekulasi, umum keluar Warisan dan sokong kerajaan

BACA: Sokongan ADUN Bebas kepada GRS bantu realisasi Pelan SMJ - Hajiji

Semalam, Yusof yang juga bekas Ketua Penerangan Warisan dalam sidang media melaporkan meninggalkan Warisan dan menyokong Kerajaan GRS.

Tindakan itu diambil kerana mahu membantu rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin dan daerah Sipitang dalam menyelesaikan pelbagai masalah, selain berusaha membawa pembangunan ke kawasan itu.