KUALA LUMPUR: Negara tidak perlu obses berkenaan siapa yang akan menjadi Perdana Menteri, sebaliknya memfokuskan kepada bagaimana Pelan Pemulihan COVID-19 dapat dilaksanakan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata tumpuan ketika ini adalah untuk membetulkan kegagalan yang dilakukan kerajaan hari ini dan pelan normalisasi ekonomi untuk memastikan Malaysia kembali ke landasan sepatutnya.

Jelasnya, ahli-ahli Parlimen pembangkang juga perlu menunjukkan bahawa mereka boleh melakukan reformasi institusi lebih daripada apa yang Tan Sri Muhyiddin Yassin tawarkan.

"Dalam kata lain, negara tidak perlu obses terhadap siapa yang akan jadi Perdana Menteri tetapi apakah Pelan Pemulihan COVID-19 untuk membetulkan kegagalan kerajaan sekarang dan pelan normalisasi ekonomi untuk meletakkan Malaysia kembali ke landasannya serta menunjukkan kita boleh melakukan lebih daripada reformasi institusi yang ditawarkan Muhyiddin.

"DAP kekal dengan pilihan kami berkenaan siapa yang patut menjadi Perdana Menteri berdasarkan mandat yang diberikan Pakatan Harapan.

"Tiada siapa yang berhak menuntut menjadi Perdana Menteri, sebaliknya kelayakan mesti bergantung kepada potensi kemampuan dan kapasiti untuk menangani pandemik COVID-19, kemerosotan ekonomi dan komitmen kepada reformasi institusi untuk menstabilkan Malaysia sebagai sebuah negara membangun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BACA: Kerjasama rentas parti untuk kestabilan sebelum PRU15

BACA: Bila jangkaan PRU15? Ini bayangan PM...

BACA: Tiada ahli Parlimen yang boleh buktikan ada sokongan majoriti - PM

Jelasnya, walaupun ramai yang mengharapkan Muhyiddin tidak mempunyai pilihan lain kecuali meletakkan jawatan, namun DAP menentang pelaksanaan Pilihan Raya Umum tatkala jumlah kematian COVID-19 di negara ini menghampiri 12,000 kes.

"DAP mengulangi komitmen untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat dengan memfokuskan kepada usaha menentang COVID-19, Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang lancar untuk mencapai imuniti kelompok menerusi suntikan bukan jangkitan dan bantuan kewangan bersasar untuk mengeluarkan negara daripada kemelesetan," katanya.

Justeru katanya, tawaran yang dibuat Muhyiddin itu bukan sahaja melibatkan keikhlasan, sikap dan keadaan, sebaliknya tawaran itu dibuat tatkala beliau telah hilang majoriti di Parlimen serta keabsahan sebagai sebuah kerajaan demi untuk mengekalkan kuasa.

"Bagaimana ia boleh dilakukan oleh sebuah kerajaan yang telah secara jelas gagal menguruskan COVID-19 dan kemelesetan ekonomi sehingga menjadikan Malaysia sebuah negara yang gagal, kini minta untuk diberikan peluang kedua?" soalnya.


[TERKINI] Ucapan Khas Perdana Menteri | 13 Ogos 2021