KUALA LUMPUR: Empat Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) boleh kekal sebagai Ahli Parlimen tanpa perlu diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK), kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Hujah Mohamed Nazri, berdasarkan Akta Antilompat Parti yang telah dilulus dan diwartakan, calon bertanding atas lambang parti bukan keahlian.

Katanya, dalam kes di Sabah, empat Ahli Parlimen itu bertanding menggunakan lambang GRS bukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Saya berada dalam jawatankuasa pilihan untuk menggubal undang-undang larangan bertukar parti dan diputuskan bahawa status setiap calon adalah berdasarkan lambang parti yang beliau bertanding.

“Dalam jawatankuasa tersbut kita telah membincangkan bagaimana untuk mengiktiraf mandat rakyat dengan menggunakan lambang yang digunakan setiap calon.

“Empat Ahli Parlimen dari Sabah itu mendapat watikah daripada Pengerusi GRS iaitu Datuk Seri Hajiji Noor bukan dari Presiden Bersatu atau Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Jadi berdasarkan semangat Akta Antilompat Parti itu, empat Ahli Parlimen di Sabah itu masih kekal sebagai ahli Dewan Rakyat biarpun Bersatu mendakwa mereka masih ahli parti itu ketika PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) lalu.

“(Datuk Seri) Ronald Kiandee tidak ada dalam jawatankuasa pilihan ketika penggubalan undang-undang larangan bertukar parti dibincangkan, jadi beliau mungkin tidak faham tentang perkara ini.

“Pada saya tidak ada keperluan untuk Yang Dipertua Dewan Rakyat mengisytiharkan empat kerusi tersebut kosong kerana mereka bertanding atas lambang GRS bukan Bersatu,” katanya kepada Astro AWANI.

Mohamed Nazri mengulas laporan media yang mendakwa Bersatu menghantar notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk memastikan bahawa telah berlaku kekosongan ‘luar jangka’ membabitkan empat kerusi Parlimen di Sabah yang didakwa ditandingi sebagai ahli parti tersebut.

Dalam satu kenyataan, Ronald yang juga Ketua Bersatu Sabah berkata, permohonan sudah dibuat kepada Speaker supaya kekosongan itu dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 21 hari.

Empat Ahli Parlimen GRS itu terdiri dari Datuk Armizan Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).

Sebelum ini seorang lagi bekas bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar juga menjelaskan empat Ahli Parlimen GRS itu tidak perlu mengosongkan kerusi yang dimenangi dalam PRU15.

Wan Junaidi yang turut terbabit yang dalam penggubalan undang-undang larangan bertukar parti yang diluluskan Dewan Rakyat Julai lalu berkata, empat Ahli Parlimen GRS itu boleh kekal di kerusi mereka.