KUCHING: Tidak perlu tergesa-gesa untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN) walaupun Proklamasi Darurat telah ditarik balik, kata Presiden Parti Sarawak Bersatu, Datuk Seri Wong Soon Koh.

Jelasnya, selain demi keselamatan rakyat, ia juga sebagai menghormati pemergian mendiang Tan Sri James Jemut Masing.

Soon Koh berkata, PRN boleh diadakan dalam tempoh 60 hari selepas perintah darurat itu diangkat.

Namun, beliau agak terkilan keputusan itu terpaksa dibuat ketika seluruh negeri Sarawak sedang bersedih menerima berita kematian timbalan ketua menteri.

“Saya berasa amat sedih kerana kita baharu sahaja mengadakan upacara pengebumian mendiang timbalan ketua menteri dan tidak lama selepas pengebumian selesai, darurat di Sarawak telah ditarik balik untuk memberi laluan kepada PRN,” ujarnya.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberikan perkenan untuk menarik balik Proklamasi Darurat di Sarawak setelah berbincang dengan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Pemansuhan itu secara tidak langsung akan membuka laluan kepada PRN Sarawak Ke-12 selepas penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) sekarang berakhir pada 6 Jun lalu.

Walaupun darurat ditamatkan, Soon Koh berharap Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak akan terburu-buru untuk mengadakan pilihan raya sebelum tahun ini berakhir.

Katanya, GPS harus melihat kepada perkembangan semasa kes COVID-19 yang masih berada pada tahap membimbangkan.

“Statistik yang dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak tidak menggambarkan keadaan sebenar kerana kes masih lagi tinggi.

“Malah penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) juga berada pada tahap 80 peratus,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan itu turut menegaskan PRN Sabah sebelum ini patut dijadikan pengajaran kerana telah mencetuskan kluster dan peningkatan jangkitan yang tinggi.