KUALA LUMPUR: Lebih setahun menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Saiful Bukhari Azlan mengumumkan keputusan mengundurkan diri sebagai ahli seumur hidup parti itu, berkuat kuasa hari ini (25 April).

Keputusan itu telah dipanjangkan beliau ke pengetahuan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin melalui sepucuk surat pada Jumaat lalu (22 April).

Memetik laporan The Malaya Post, Ahli Jawatankuasa Komunikasi Strategik Jabatan Penerangan Bersatu dan bekas Ketua Unit Penyelidikan Pemuda Perikatan Nasional (PN) itu mengundur diri atas sebab-sebab peribadi.

“Bahawa saya, Mohd Saiful Bukhari bin Azlan bernombor keahlian 00468423 ingin memaklumkan telah menyampaikan hasrat saya untuk berundur sebagai Ahli Biasa Seumur Hidup PPBM melalui sepucuk surat kepada Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia, bertarikh pada 22hb April 2022 dan berkuatkuasa hari ini, Isnin, 25hb April 2022.

"Ia dilaksana menurut Fasal 10.1 Perlembagaan Parti,” katanya dalam satu kenyataan media seperti dilaporkan The Malaya Post.

Saiful Bukhari turut merakamkan penghargaan kepada Bersatu yang merupakan parti politik pertama disertainya.

"Sekalung penghargaan buat parti atas kesudian menerima saya selaku ahli awal tahun lalu dan pengalaman yang diberi selaku AJK Komunikasi Strategik Jabatan Penerangan Bersatu (Jun 2021-Kini) dan Ketua Unit Penyelidikan, Pemuda Perikatan Nasional bagi tempoh Mei 2021-Okt 2021,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada sahabat-sahabatnya di Bersatu.

"Di sini saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada sahabat-sahabat di PPBM. Walaupun, tidak menjadi ahli tidak semestinya perlu putus persahabatan.

"Pada hemat saya, silaturahim harus mengatasi ideologi politik. Salam Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin,” katanya.

Untuk rekod, Saiful Bukhari dilantik sebagai AJK Komunikasi Strategik Jabatan Penerangan Bersatu pada Jun 2021 dan pernah memegang jawatan sebagai Ketua Unit Penyelidikan Pemuda PN bagi tempoh Mei 2021 hingga Oktober 2021.