KUALA LUMPUR: Pas memutuskan tiga negeri yang dikuasainya, Kelantan, Kedah dan Terengganu, tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam masa terdekat.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menjelaskan keputusan itu dibuat bagi membolehkan segala usaha ditumpukan kepada persiapan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka pertengahan November hingga Mac 2023.

Sementara itu, Abdul Hadi menegaskan Pas akan meneruskan usaha penyatuan ummah melibatkan komitmen ketiga-tiga parti Melayu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan menjamin kestabilan politik negara pasca PRU15.

"Pas berpandangan perlu ada 'keanjalan' dalam rundingan dengan pihak UMNO dan Bersatu, termasuklah berkenaan syarat-syarat yang dikemukakan dan rundingan kerusi yang sedang diusahakan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mesyuarat AJK Pas Pusat kali ini mendapat perhatian ketika semua pihak menantikan adakah parti itu akan kekal bersama Perikatan Nasional (PN) atau sebaliknya.

UMNO sebelum ini meletakkan tiga syarat kepada Pas sekiranya ingin kembali membentu kerjasama antaranya perlu mengumumkan keluar dari PN dan memutuskan kerjasama dengan Bersatu.