KOTA BHARU: Seperti kerajaan DAP di Pulau Pinang, Pas juga membuat keputusan tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di ketiga-tiga negeri yang ditadbir mereka sekiranya Parlimen dibubarkan tahun ini.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, DUN di ketiga-tiga negeri ditadbir parti tersebut iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah hanya akan dibubarkan sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun hadapan.

“Tiga negeri ini kelantan, Kedah dan Terengganu dikuasai oleh Pas. Jadi, Pas dalam mesyuaratnya dalam dua tiga minggu lepas telah membuat keputusan sekiranya Parlimen (dibubar) dalam bulan 10 (Oktober) ke bulan
11 (November) sepertimana diperkatakan, kita tidak akan bubar (DUN).


“Kita tidak akan bubar (DUN) tiga-tiga negeri ini… tidak akan berubah kecuali kalau Parlimen dibubarkan tahun hadapan,” kata Mohd Amar kepada pemberita ketika ditemui dipejabatnya, di sini, hari ini.

Menurut Mohd Amar, Pas berpendapat, tidak ada keperluan untuk Parlimen dibubarkan pada tahun ini memandangkan kerajaan yang ada hari ini stabil.

Dalam masa sama, beliau menegaskan, apa yang wajar diberikan tumpuan oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ini ialah isu ekonomi dan kenaikan kos sara hidup.

Mohd Amar berkata, kebiasaannya negeri-negeri di pantai timur khasnya berdepan dengan kemungkinan banjir justeru, pilihan raya umum tidak sesuai diadakan apatah lagi melibatkan kos dan kewangan negara yang besar.