Tindakan terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin harus dibincangkan secara dalaman, kata Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Selangor, Amirudin Shari.

Beliau yang juga Menteri Besar Selangor menegaskan, perbincangan secara terbuka mengenai kemleut dalaman parti secara tidak langsung boleh menjejaskan kepimpinan PKR.

“Sekarang sudah merebak dalam pelbagai perkara termasuk saman-menyaman, ini semua bagi saya tidak sihat bagi perkembangan parti.

“Saya dah sebutkan bahawa (tindakan) harus melalui proses dan saya melihat dengan jelas bahawa sewajarnya ia boleh dibincangkan dalam konteks parti,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Temu Rapat Menteri Besar Bersama Pengetua dan Guru Besar Negeri Selangor, pada Jumaat.

BACA: Hal Zuraida, itu urusan Lembaga Disiplin - Anwar


BACA: 46 pimpinan PKR gesa tindakan terhadap Zuraida dihentikan serta-merta

Dalam pada itu, Amirudin berkata, apa-apa tindakan yang akan dikenakan terhadap ahli parti juga harus mengikut prosedur sedia ada.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Selasa mengesahkan Zuraida bukan hanya menerima surat tunjuk sebab atas salah laku disiplin, malah turut menerima surat saman daripadanya.

Saifuddin berkata, surat tunjuk sebab dikeluarkan Lembaga Disiplin parti, manakala surat saman dikeluarkan oleh peguamnya kerana Zuraida ada mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya.


Sehari selepas itu, Zuraida berkata, beliau telah menyerahkan surat jawapan tunjuk sebab kepada Lembaga Disiplin parti itu berhubung dakwaan salah laku disiplin.