KUALA LUMPUR: Selepas hampir dua tahun digantung, bekas Timbalan Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mengumumkan beliau dipecat daripada UMNO.

Menurutnya, beliau menerima surat pemecatan itu pada pukul 4.28 petang Selasa menerusi aplikasi WhatsApp selepas dihubungi ibu pejabat UMNO.

Beliau memberitahu ada beberapa perkara menarik dalam surat berkenaan termasuk beliau masih dirujuk sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian.

"Maksudnya jika sesiapa digantung keahlian mereka, gelaran jawatan mereka masih kekal walaupun hak keahlian mereka digantung.

"Jadi Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein masih boleh digelar Ketua UMNO Bahagian dan bukan bekas atau mantan seperti yang dirujuk oleh media terhadap saya sebelum ini," katanya sinis dalam perkongsian di akaun Facebooknya di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, Tun Faisal memberitahu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan turut  'terlupa' untuk menyenaraikan nama beliau di antara sembilan ahli UMNO Putrajaya yang digantung sebelum ini.

"Mungkin selepas saya buat siaran langsung (live) mengenai keputusan 'pembersihan UMNO daripada golongan penentang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Presiden UMNO), baru ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) perasan, rupanya ada seorang lagi yang mereka lupa untuk umum pecat.

"Jadi termasuk saya, mungkin jumlah sebenar ahli UMNO Putrajaya yang dipecat adalah 10 orang," ujarnya.

Beliau menyifatkan, Tribunal Lembaga Disiplin turut gagal membuktikan dirinya bersalah kerana beliau tidak menfitnah Ahmad Zahid.

Menurutnya, surat sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri sebelum ini adalah benar dan Lembaga Disiplin gagal membuktikan sebaliknya.

"Saya tidak membuat kritikan terbuka sebaliknya memberikan pandangan dan cadangan kepada Ahmad Zahid berikutan terdedahnya surat tersebut dan kegagalannya mendapatkan sokongan Ahli MKT dan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri.



"Jika MKT dan Lembaga Displin benar-benar berfungsi, orang yang pertama yang patut dipecat adalah Ahmad Zahid kerana beliau telah mengkhianati dasar parti dan keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) sejak Oktober 2020 lagi, diikuti dengan 13 orang lagi pemimpin UMNO yang turut menandatangani Akuan Bersumpah (SD) menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri," katanya.

Tambah Tun Faisal, beliau mengambil keputusan untuk tidak membuat rayuan kerana keputusan sudah dijangka, lebih-lebih lagi apabila MKT dan Ahmad Zahid tidak terbuka untuk menerima kritikan.

Dalam masa sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada UMNO dan pemimpin yang telah berjuang atas dasar agama, bangsa dan tanah air sehingga berjaya mengangkat dan memartabatkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan negara.

"Selain menghalang negara ini daripada menjadi sebuah negara sekular dan menghalang kehendak parti-parti tertentu yang mahu menyamaratakan kedudukan Islam dengan agama-agama lain, serta mengangkat dan membela kedudukan orang Melayu dan Bumiputera," katanya.

Tambah beliau, penentangannya adalah kepada individu dan bukan terhadap parti UMNO secara keseluruhannya kerana menyifatkan UMNO dan BN jelas dengan prinsip perjuangannya.