KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menegur pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan dengan menyifatkan ia tidak menurut lunas-lunas demokrasi, walaupun sah dari segi undang-undang.

Jelas Ahli Parlimen Langkawi itu, rakyat sepatutnya diberikan hak untuk memilih kerajaan melalui pilihan raya, dan bukan melalui cara selain daripada itu.

"Apa yang telah berlaku adalah orang yang ditolak rakyat sekarang ini menjadi kerajaan, orang yang dipilih rakyat sekarang ini menjadi pembangkang.

"Ini menidakkan amalan demokrasi yang sepatutnya rakyatlah yang memilih kerajaan, dan bukan cara-cara lain untuk menidakkan hak rakyat.Saya berharap cara ini tidak diamalkan di masa-masa hadapan," katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14, di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.