Tun Mahathir tiada halangan sokong Muhyiddin sebagai PM ke-8 - Redzuan Yusof

Faris Danial Razi
Februari 28, 2020 14:54 MYT
Redzuan ditemu bual oleh pemberita di perkarangan kediaman Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Bukit Damansara pada Jumaat malam. - Astro AWANI
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mempunyai halangan bagi mengangkat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8.
“Dr. Mahathir sebelum ini pernah memberitahu bahawa beliau tiada halangan, dan ia berkali-kali diulang dalam kenyataan beliau,” jelas Ahli Parlimen Alor Gajah Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.
Beliau berkata demikian sewaktu ditemu bual oleh pemberita di perkarangan kediaman Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Bukit Damansara pada Jumaat malam.
Mengulas mengenai Tun Mahathir yang meninggalkan mesyuarat bersama Yayasan Al-Bukhary, Redzuan menyifatkannya sebagai bukan suatu perkara besar.
“Itu kadang-kadang orang mempunyai pandangan yang negatif, macam saya, kalau libatkan diri saya sendiri, saya akan mengecualikan diri saya.
"Ini kerana ia tidak adil jika saya menghadiri satu mesyuarat bagi membincangkan tentang diri atau kedudukan saya sendiri.
“Dia bukan keluar begitu sahaja dan mohon supaya perkara itu tidak dibincang secara berulang kali kerana dia memang sudah menjelaskan jawatannya,” tambah Redzuan.
Mengulas lanjut, beliau berpendapat bahawa kenyataan yang dilakukan oleh parti Barisan Nasional yang juga menyokong Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri adalah satu berita baik dan positif.
“Mereka telah mengeluarkan kenyataan, saya merasakan itu berita baik kerana mereka dilihat mempunyai pertimbangan dalam menyokong kami membentuk sebuah kerajaan”
“Sebaik ini (kemelutan politik) semua selesai, saya berharap ini dapat diselesaikan secepat mungkin supaya kita dapat membentuk sebuah kerajaan dan menjalankan tugas untuk memimpin negara,” katanya lagi.
Antara yang kelihatan hadir ialah Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Mohd Apdal, Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan, serta Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
#Barisan Nasional #Bersatu #Mahathir Mohamad #Muhyiddin Yassin #Pakatan Harapan #politik #Yayasan Al-Bukhary