KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini mengemukakan laporan terbuka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta siasatan dijalankan ke atas Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas ucapan khas Perdana Menteri pada Jumaat.

Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menjelaskan, ia dilakukan memandangkan terdapat unsur sogokan dibuat secara langsung di televisyen semasa ucapan berkenaan.

"Setelah meneliti Ucapan Khas Muhyiddin semalam, AMK telah mendapati bahawa ucapan tersebut mengandungi unsur-unsur yang sesungguhnya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, memberi impak negatif kepada kedaulatan undang-undang dan menjejaskan kewibawaan institusi kerajaan di negara kita.

"Dalam ucapan tersebut, Muhyiddin dengan jelasnya mengakui bahawa beliau telah hilang kepercayaan majoriti dalam kalangan ahli Dewan Rakyat.

"Menurut Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan, jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Kenyataan Akmal itu adalah bersama Pengerusi Biro Guaman dan Undang-Undang AMK Malaysia, Chiew Choon Man.

BACA: Muhyiddin seharusnya tahu Perlembagaan itu 'non-negotiable' - Tok Mat

BACA: 
Muhyiddin tiada hak buat tawaran - Pejuang

Bagaimanapun kata Akmal, daripada meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin dalam ucapan tersebut telah membuat pelbagai tawaran yang berbentuk sogokan kepada seluruh Ahli Dewan Rakyat bagi mendapat sokongan mereka untuk membolehkan beliau kekal menjadi Perdana Menteri.

Oleh yang demikian tegasnya, AMK telah mengesyaki bahawa Muhyiddin telah melakukan kesalahan-kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Tambahnya, kesalahan itu dikatakan di bawah Seksyen 21 iaitu penyogokan pegawai badan awam yang menyebut, menawarkan suapan kepada seseorang pegawai badan awam sebagai dorongan agar pegawai itu mengundi atau tidak mengundi dalam mana-mana mesyuarat badan awam itu bagi menyokong atau menentang apa-apa langkah, ketetapan atau soal yang dikemukakan kepada badan awam itu.