KUALA LUMPUR: Bekas pemimpin kanan UMNO, Tan Sri Annuar Musa mendakwa parti politik terbesar orang Melayu itu bakal ditolak rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ini kerana, kata Presiden Muafakat Nasional itu, sokongan yang diberikan oleh rakyat khususnya ketika UMNO bersama Pas, bukan DAP.

"Kehadiran ribuan penyokong UMNO dan Pas di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC) September 2019 telah menyemarakkan semangat jutaan rakyat sehingga UMNO meraih kemenangan dalam siri PRK dengan cemerlangnya

"Kehadiran puak sosialis, liberal, DAP ke Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini (Ahad) akan mendorong jutaan rakyat termasuk ahli UMNO akan terus meninggalkan parti itu.

"UMNO bakal ditolak rakyat dalam PRN dan PRU akan datang, Insya-Allah," kata  beliau dalam hantaran di Facebook peribadinya pada Ahad.


Semalam, Kerajaan Perpaduan menganjurkan Konvensyen Nasional buat julung kali hari ini di WTCKL.

Acara itu dibuka tirainya menerusi Konvensyen Nasional Wanita Kerajaan Perpaduan dan Konvensyen Nasional Pemuda Puteri Kerajaan Perpaduan yang diadakan secara serentak.

Konvensyen itu menghimpunkan 19 parti politik yang mendukung Kerajaan Perpaduan dan disifatkan kesemua pemimpin dalam gagasan itu sebagai peristiwa bersejarah dalam pembentukan kerajaan yang stabil.