KUALA LUMPUR: UMNO berharap tiada sebarang halangan bagi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk meluluskan permohonan pindaan perlembagaannya, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahmad berkata adalah diyakini bahawa UMNO telah melaksanakan pindaan itu mengikut prosedur dan proses yang ditetapkan, selain Pindaan kepada Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO yang diputuskan oleh Perhimpunan Agung Khas UMNO juga teratur mengikut Fasal 30 Perlembagaan UMNO.

"Kami masih lagi menunggu kelulusan daripada ROS. Segala dokumen tambahan telah diberi. Tiada sebarang persoalan dan dokumen lain yang ROS perlukan. Ini saya tanyakan sendiri kepada mereka.

"Kelulusannya juga adalah sepertimana kelulusan diberikan oleh ROS kepada parti MCA berkenaan pindaan perlembagaannya yang membawa maksud sama atau setaraf dengan pindaan Perlembagaan UMNO ini," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Twitter hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad menafikan dakwaan bahawa penjawat jawatan UMNO sekarang adalah 'caretaker' atau penjaga sekali gus tidak boleh membuat sebarang keputusan dasar termasuk pindaan terhadap Perlembagaan UMNO.

Ahmad berkata ROS telah mengesahkan bahawa penjawat jawatan UMNO sekarang bukan berstatus 'caretaker' atau penjaga dan tiada istilah 'caretaker'dalam Perlembagaan UMNO ketika tempoh pelanjutan penggal sehingga 29 Dis ini.

"Dalam Perlembagaan UMNO Fasal 10.16 berbunyi 'Majlis Tertinggi (MT) berhak menangguhkan pemilihan pada peringkat MT, Bahagian dan Cawangan. Penangguhan ini tidak boleh lebih daripada 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya ia diadakan.

"MT telah pun membuat keputusan untuk menangguhkan pemilihan selama 18 bulan. Penangguhan itu disahkan melalui surat kelulusan daripada ROS pada 30 Ogos 2021. Ini bermakna penjawat jawatan penggal ini dilanjutkan hingga 29 Dis 2022," katanya.

Oleh itu, Ahmad berkata UMNO berhak membuat apa jua keputusan bagi kepentingan parti itu seperti termaktub dalam Perlembagaan UMNO Fasal 10.15 iaitu 'Mengambil sebarang langkah selain daripada perkara-perkara yang tersebut di atas bagi kesempurnaan perjalanan parti'.

Katanya, ketika pelanjutan tempoh itu, UMNO antara lain telah memasuki Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 Nov 2021, terlibat di PRN Johor pada 12 Mac lepas, mengadakan Perhimpunan Agung UMNO pada 16 hingga 19 Mac 2021 dan mengadakan Perhimpunan Agung Khas pada 15 Mei lepas.

"Semuanya adalah sah daripada segi Perlembagaan UMNO itu sendiri," katanya.

UMNO kini mempunyai 56 ahli MT, 191 bahagian dan 21,156 cawangan di seluruh negara.

-- BERNAMA