GUA MUSANG: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menganggap  tindakan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang menggesa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) secepat mungkin, seolah-olah 'menempah maut' sekiranya jentera parti tiada persediaan rapi.

Tengku Razaleigh yang turut dikenali sebagai Ku Li berkata, parti itu akan kalah teruk jika menghadapi PRU15 tanpa membuat persediaan secukupnya.

“Baguslah nak adakan PRU, tetapi kalau kita tak bersedia... kita seolah-olah nak cari maut.

"Jadi kita tak mahu menghadapi pilihan raya dan kalah... jika kalah kali ini, teruk kita.

“Kita tak mahu berlaku begitu kepada parti kita. Ini parti harapan orang Melayu jadi kita tak mahu hilang pengaruh dan kedudukan,” katanya di sini.

Tengku Razaleigh turut mempersoalkan gesaan MKT UMNO yang mahu PRU15 diadakan tahun ini yang mungkin berlaku pada musim tengkujuh.

“Keputusan nak adakan PRU15 seumpama ini... saya rasa kita kena bertindak dengan logik dan dengan asas yang kuat, tak boleh kita ikut nafsu semata-mata.

“Kita sendiri nak lari... nak selamatkan diri (daripada banjir) macam mana nak adakan pilihan raya. Kita pun minta rakyat selamatkan diri, jadi masa mana mereka nak berfikir soal undi kalau mereka terpaksa cari tempat tinggi, tempat selamat dan sebagainya,” katanya.

Semalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bersetuju untuk Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat, bagi membolehkan PRU15 diadakan tahun ini juga.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berdasarkan keputusan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong selaras Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.