KUALA LUMPUR: UMNO Kedah menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk membuat sebarang keputusan berhubung kerjasama dengan Pas menerusi Muafakatt Nasional (MN).

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Othman Aziz menjelaskan, pihaknya merasa sedih bila keakraban dengan Pas kini semakin longgar.

“Saya sentiasa mendukung semangat muafakat dan saya selalu berkata kita orang-orang Melayu tidak mampu untuk berpecah, namun kita sedih juga apabila keakraban yang disemai oleh UMNO dengan Pas sebelum ini mula longgar sejak parti berkenaan masuk ke dalam kerajaan di bawah PN dengan pelbagai kenyataan oleh pimpinan mereka sendiri.

“Jadi pada kami di bawah kita akan akur dengan keputusan pucuk pimpinan termasuklah ‘top five’ dan Perdana Menteri untuk melakarkan sesuatu yang memberi faedah jangka panjang demi agama, bangsa dan negara.

“Kita kena bergerak sederap dengan niat untuk sama-sama memperkuatkan ikatan. Kita praktikkan. Jangan kita praktik hanya untuk ‘convenience’ (kemudahan) diri masing-masing… tidak boleh sebab dalam perjuangan kita bukan hanya melihat diri atau parti kita semata-mata,” katanya.

UMNO dan Pas menjalinkan kerjasama hingga memeterai piagam MN ketika masing-masing menjadi pembangkang ketika Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan selama 22 bulan.

Namun selepas Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan selepas kerajaan PH tumbang dua tahun lalu, kerjasama menerusi MN yang dibentuk atas semangat Melayu dan Islam itu semakin longgar dan dilihat sudah tidak lagi berfungsi.

Sementara itu, mengulas persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Othman yang juga Ketua UMNO Bahagian Jerlun menjelaskan jentera parti di seluruh Kedah berada dalam mod 'standby’ (berjaga-jaga) untuk menghadapi segala kemungkinan.

Katanya, biarpun tarikh PRU15 masih belum diketahui, namun jentera parti di pelbagai peringkat terutama di bahagian-bahagian termasuklah Jerlun sendiri telah diperkemaskan dengan sebaiknya.

“Secara keseluruh kita telah pun mengarahkan bahagian-bahagian di Kedah ini bukan sahaja di Jerlun untuk memperkemaskan balik jentera pilihan raya masing-masing malah kita juga akan menganjurkan beberapa siri kursus untuk portfolio-portfolio tertentu bagi memantapkan lagi gerak kerja pelbagai peringkat.

“Walaupun kita belum tahu bila tarikh sebenar pilihan raya itu, namun di peringkat bahagian-bahagian dan sebagainya kita telah mengarahkan seluruh jentera untuk memastikan mereka sentiasa bersedia,” katanya lagi.