KUANTAN: UMNO Pahang melantik lapan pegawai termasuk pengerusi lima majlis baharu dalam usaha membantu parti itu untuk kekal relevan dan mendapat sokongan rakyat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pelantikan itu dibuat pada mesyuarat pertama parti bagi sesi 2023-2026 yang bersidang di sini hari ini.

"Saya berharap kepimpinan yang dilantik dapat melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab, amanah dan berdedikasi.

"Pelantikan ini diharapkan dapat membantu UMNO Pahang untuk bangkit, kekal relevan serta terus diyakini rakyat Pahang terutamanya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16)," katanya menerusi kenyataan di sini.

Pelantikan itu melibatkan lima Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah Razali Kassim selaku Setiausaha; ADUN Benta Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak (Bendahari); ADUN Dong Fadzli Mohamad Kamal (Ketua Penerangan); ADUN Kerdau Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad (Pengerusi Majlis Hal Ehwal Agama); dan ADUN Guai Datuk Sabariah Saidan (Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga).

Turut dilantik ialah Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin sebagai Pengerusi Majlis Sekretariat Muafakat Wakil Rakyat UMNO Pahang, manakala bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said dilantik Pengerusi Majlis Keahlian dan Perundangan.

Sementara itu, bekas Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin dilantik sebagai Pengerusi Majlis Perkaderan dan Latihan UMNO negeri.

-- BERNAMA