KUALA LUMPUR: UMNO tidak mempunyai DNA atau baka untuk mencetuskan kekacauan yang kemudiannya boleh menyebabkan negara terjerumus kepada keadaan tidak menentu, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tegasnya, ia terbukti apabila Barisan Nasional berlapang dada, menerima kekalahan dan keputusan rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas dan tidak menimbulkan sebarang kekacauan.

Katanya lagi, rakyat juga kini semakin tidak selesa dengan percaturan sesetengah pihak yang sering mencari suaka politik untuk kepentingan diri.

“UMNO punya catatan membangunkan negara. UMNO bersejarahkan kemakmuran dan kestabilan. UMNO berwajahkan keharmonian dan kesejahteraan.

“Justeru, soal kestabilan, keharmonian, kemakmuran serta kesejahteraan, adalah agenda yang tidak pernah luput, daripada kamus perjuangan UMNO.

“Jadikanlah PRU14 sebagai sempadan dan pengajaran buat negara. Pakatan politik yang baharu muncul ketika itu, hanya indah khabar daripada rupa.

“Pepat di luar, rencong di dalam, kokok berdegar-degar ekor bergelumang najis. Rakyat ditipu hidup-hidup,” katanya ketika berucap Perhimpunan Agung Khas UMNO 2022 di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan perpecahan yang berlaku dalam UMNO hanya akan merugikan parti dan beliau tidak sanggup melihat UMNO kucar-kacir.

“Dalam Pilihan Raya Umum Negeri Melaka dan Johor, kita menawarkan kestabilan sebagai jaminan, untuk kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat. 

“Kestabilan amat penting untuk kita pertahankan. Sejarah UMNO, telah memperlihatkan bagaimana Perlembagaan dan Peraturan UMNO, sentiasa melalui proses pindaan.

“Ia dilakukan agar sesuai dengan keadaan semasa, di samping untuk membendung masalah dalaman, yang  boleh menjejaskan kedudukan parti secara keseluruhannya,” ujarnya.

Jelasnya, sejak tahun 1990 sehingga kini, sebanyak tiga kali pindaan perlembagaan parti telah dilaksanakan berkait dengan soal pemilihan.