KUALA LUMPUR: Mesej yang disampaikan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan amat jelas bahawa UMNO tidak boleh bergantung kepada belas kasihan orang lain, kata Ketua Penerangan parti itu, Shahril Sufian Hamdan.

Dalam satu kenyataan, Shahril menjelaskan UMNO perlu berdiri sendiri dan mesti yakin dengan visi untuk Malaysia.

"Mesej yang disampaikan oleh Tok Mat cukup jelas, UMNO tidak boleh bergantung harap lagi kepada kasihan dan belas orang lain. UMNO mesti berdiri sendiri, UMNO mesti yakin dengan visi UMNO untuk Malaysia.

"Tok Mat juga mengajak bangsa Melayu untuk pulang kembali kepada UMNO. Tetapi untuk meyakinkan orang Melayu, kita perlu fahami dan santuni perubahan yang telah berlaku kerana sosialisasi dan mobilisasi. Orang Melayu hari ini tidak sama seperti dua, tiga dekad lalu.

"UMNO mesti ada strategi sendiri, yang sederhana dan sedia untuk membawa kestabilan kepada negara. Adil kepada semua seperti zaman segala pemimpin sebelum kita," katanya.

Beliau juga berkata, UMNO memerlukan visi yang mampu menangkap imaginasi pengundi yang merangkumi bukan sahaja ekonomi, politik, dan reformasi institusi.

Katanya, visi UMNO hendaklah menyentuh agenda peribahan iklim, pemerkasaan wanita, dan menyediakan Malaysia untuk segala trend masa depan.

"Keadaan politik di negara perlu ada penyelesaiannya. Kian tiba masanya BN kembalikan mandat kepada rakyat untuk mereka memilih siapa yang layak mengemudi negara dengan visi dan rangka yang jelas.

"Kita perlu merapatkan saf, bersatu hati untuk mengorak langkah kedepan memastikan agar perjuangan demi agama, bangsa, dan Malaysia tercinta terus terjamin," katanya lagi.

Dalam ucapan ketika merasmikan persidangan sayap UMNO, Mohamad menegaskan parti terbesar orang Melayu itu perlu mempunyai satu aspirasi yang digelar Agenda Bersama Untuk Masa Depan Bersama untuk menjadi landasan kepada semua.

BACA: PAU 2021: UMNO perlu berhenti bergantung kepada parti lain - Mohamad Hasan

PERKEMBANGAN PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2021