KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak sepatutnya menyalahkan tindakan 12 menteri Kabinet yang mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang dikatakan mencetuskan keputusan membubarkan Parlimen.

Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) itu berkata, sememangnya UMNO itu sendiri yang mahu mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lebih awal.

"Walaupun Perdana Menteri berhak membuat keputusan sendiri, tetapi dalam kerajaan campuran, (pengetahuan dan persetujuan) parti komponen berhak memberi pandangan mereka.

"Memang pun UMNO yang hendak PRU awal, pedulikan banjir. Yang penting ialah UMNO menang dan penjenayah-penjenayah elak dari dihukum segera," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selasa lalu, Ismail Sabri berkata, keputusan pembubaran Parlimen dibuat berikutan 12 Menteri menunjukkan sikap tidak wajar, mengutuskan warkah kepada Al-Sultan Abdullah.

Justeru, pembubaran itu bertujuan menghalang daripada tercetusnya ketidakharmonian dalam pentadbiran Kerajaan. 

Tambahnya, tindakan menteri terbabit membelakangkan institusi Perdana Menteri yang mana pelantikannya diperkenan Yang di-Pertuan Agong, sekali gus mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran kerajaan.

Beliau merujuk kepada kenyataan media Istana Negara pada Isnin yang menyatakan Al-Sultan Abdullah kecewa dengan perkembangan politik semasa tanah air.