KUALA LUMPUR: Rang undang-undang berkaitan larangan tukar parti yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam merupakan satu kemenangan kepada rakyat, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata beliau berasa lega, kerana memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan sebelum ini menetapkan supaya terdapat usaha bagi meluluskan rang undang-undang berkenaan.

"Kita dapat 209 Ahli Parlimen (yang bersetuju), termasuk pendirian Pakatan Harapan memang konsisten.

"Jadi ini satu kemenangan kepada rakyat, bila kita pilih, kita yakin insya-Allah, tidak lagi belot kerana ugutan, takut dengan tindakan atau wang ringgit atau juga kedudukan, Alhamdulillah," katanya menerusi klip video pendek di laman Facebook beliau hari ini.

Semalam, pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti atau lebih sinonim dengan istilah 'lompat parti', mendapat sokongan lebih dua pertiga ahli dewan, sekali gus melakar sejarah yang mengubah landskap politik tanah air.

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 itu memperoleh masing-masing sokongan 209 daripada 220 Ahli Parlimen selepas dua kali undi belah bahagian dilakukan, iaitu lebih dua pertiga persetujuan Ahli Dewan Rakyat manakala 11 tidak hadir.

-- BERNAMA