KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) sudah mempunyai ketetapan dan strategi berhubung undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada Isnin.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin enggan mengulas dengan lebih lanjut berhubung dengan ketetapan tersebut.

"Kita sudah ada ketetapan, kita tunggu esok. Yang saya tahu, Insya-Allah kita akan dapat minimum 74 (undi).

"Kita tunggu esok, itu strategi," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Jawatankuasa PN yang diadakan di Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) Clubhouse pada Ahad.

Pada Sabtu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa Mesyuarat Jawatankuasa PN akan diadakan pada Isnin bagi membincangkan pendirian gabungan parti itu mengenai usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Jerantut itu berkata, mesyuarat tersebut turut memberi pendedahan kepada semua ahli Parlimen tentang apa yang akan berlaku di sidang Dewan Rakyat pada Isnin.

"Kita berikan taklimat kepada semua ahli Parlimen tentang apa yang akan berlaku esok kerana ramai dalam kalangan kita adalah ahli Parlimen baharu.

"Jadi apa 'do and donts' untuk menjadikan kita sebagai pembangkang yang konstruktif, bertanggungjawab, setia dan kolaboratif.

"Maknanya kita nak kekalkan kumpulan pembangkang yang cemerlang untuk rakyat sebab mereka memerhatikan apa yang kita akan buat untuk membawa kepada perkembangan negara," ujarnya. -Sinar Harian