KUALA LUMPUR: Baru-baru ini, kerajaan negeri Johor telah meluluskan pindaan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 (Pindaan) 2021 bagi menurunkan had umur warganegara yang layak menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad dan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Johor yang telah bersetuju untuk meluluskan pindaan perlembagaan negeri bagi menurunkan umur mengundi dan bertanding daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

BACA: Undi18: Johor lulus pindaan kelayakan umur calon pilihan raya

Sebagai ahli Parlimen Belia Malaysia mewakili negeri Johor, saya yakin bahawa pindaan ini sudah pastinya akan meningkatkan kesedaran dan penglibatan anak muda dalam bidang politik.

Ini kerana Malaysia mempunyai 14.6 juta belia yang berumur antara 15-39 tahun menurut Jabatan Perangkaan Negara, 2018.

Berdasarkan statistik ini dan atas faktor-faktor yang lain, pembabitan kaum belia sebagai "frontliners" dalam arena politik akan bantu mengemudi masa depan negara kita ke arah yang lebih sejahtera.

Politik adalah senjata bagi mereformasikan sistem kepimpinan negara kita.


Saya juga melihat pindaan ini sebagai satu peluang keemasan untuk membangkitkan isu-isu yang dihadapi oleh anak muda seperti peluang pekerjaan, gaji minimum, kenaikan harga rumah dan sebagainya.

Seterusnya parti-parti politik juga akan lebihkan pencalonan anak muda dalam pilihan raya yang akan datang.

Sebagai contoh, baru-baru ini Parti Keadilan Rakyat yang telah mencalonkan saudari Farzana Hayani sebagai calon DUN Melaka pada Pilihan Raya Negeri yang lepas.

Ini merupakan satu pola perubahan yang agak positif dalam penjenamaan semula politik tanah air dalam kalangan anak muda.

Saya juga berterima kasih kepada organisasi Undi18 kerana telah bertungkus-lumus untuk meluluskan Rang Undang-Undang bagi penurunan kelayakan umur mengundi dan bertanding dalam pilihan raya.

Perjuangan Undi18 telah menjadi titik permulaan bagi memperkasakan anak muda dalam bidang politik Malaysia.

Kiran Raj Sathivel