KUALA LUMPUR : Kelulusan pindaan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 (Pindaan) 2021 bagi menurunkan kelayakan had usia calon pilihan raya, daripada 21 kepada 18 tahun di Johor, bakal mencorak landskap politik baharu di negeri itu.

Menurut Ketua Pemuda UMNO Sembrong, Hafiz Ariffin, kelulusan itu melunaskan hasrat anak muda untuk turut serta dalam proses demokrasi negara secara lebih inklusif dan progresif.

"Dengan pelaksanaan Undi 18 di Johor, seramai 706,082 orang muda yang membawa penambahan hampir 40 peratus pengundi muda baharu akan layak mengundi menjelang pilihan raya umum (PRU) kelak.

"Dari jumlah keseluruhan pengundi, penambahan ini akan memberi kesan signifikan kepada pola pengundian pada PRU akan datang," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Hafiz lagi, langkah ini turut menjadi isyarat kepada parti-parti politik untuk menyesuaikan syarat keahlian dan operasi parti dalam membuka ruang kepada generasi baharu dalam mencoran landskap politik negara.

"Di kesempatan ini mewakili Pemuda UMNO Johor, kami amat meraikan dan menyambut baik landskap baru yang menggalakkan lebih ramai penyertaan anak muda.

"Kami juga mengajak anak muda untuk turut serta menganggotai Pergerakan Pemuda UMNO di cawangan-cawangan seluruh Johor," ujarnya yang juga Exco Pemuda UMNO Malaysia.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini sebulat suara meluluskan pindaan enakmen berkenaan.

Cadangan pindaan had umur terhadap Fasal 16 Bahagian 2, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor itu dikemukakan Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad.

Ia disokong Ahli DUN (ADUN) Semarang Datuk Samsolbari Jamali dan diluluskan sebulat suara selepas bacaan kali ketiga.