KUALA LUMPUR : Sebanyak 92 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia menyeru rakyat untuk bangkit memperkasa dan menjadi sistem sokongan agar anak muda diberi peranan dalam mencorak model Malaysia yang lebih stabil dan kukuh dalam politik, ekonomi dan sosial.

Melalui satu kenyataan bersama, NGO berkenaan berpendapat, krisis kepimpinan dalam geopolitik hari ini memerlukan perubahan berimpak tinggi terhadap pemulihan struktur tadbir urus dan akauntabiliti negara.

"Defisit kepercayaan terhadap tahap integriti telah menimbulkan persepsi negatif rakyat dan dunia terhadap Malaysia. Isu ini tentunya memerlukan solusi yang strategik.

"#RasuahBusters bersama rakan gabungan melihat bahawa golongan muda adalah akar yang akan membawa karakter yang lebih kompetitif, progresif, inovatif dengan semaian akhlak, nilai dan maruah yang tinggi bagi memacu transformasi negara," kata kenyataan itu pada Selasa.

Antara 92 NGO yang menyokong #RasuahBusters itu ialah UNDI 18, IKRAM Muda Malaysia, Majlis Belia Malaysia, Pertubuhan Belia KerapatanGraduan Muda (KAGUM), Pertubuhan Pemuda Gema (GEMA), Ajar Demokrasi, Arus Anak Muda dan Anak Muda Sarawak (AMS).

Mereka bertegas, Undi 18 yang meletakkan kuasa mengundi kepada golongan muda termasuk para pelajar wajar dijadikan peluang untuk menolak kepimpinan toksik dan rasuah daripada terus memusnahkan masa depan generasi muda.

"Sebaliknya golongan mudalah yang harus tampil sebagai barisan hadapan kepimpinan di dalam proses pembikinan polisi serta penggubalan undang-undang dalam mengemudi pentadbiran untuk mencorak masa hadapan negara," tambah kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut, bagi mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang telah disasarkan menjelang 2030, golongan muda juga harus berani untuk tampil dalam proses advokasi hak-hak bagi menjamin kualiti pendidikan, kesihatan, alam sekitar serta jaminan peluang pekerjaan bagi kemampanan ekonomi dan sosial.

"Anak muda bangkit bukan retorik. Ia adalah jaringan ekosistem yang amat signifikan. Pensejajaran misi secara berterusan bersama golongan muda bakal menentukan hala tuju kemajuan yang selari dengan kebangkitan #NilaiMoralKarakterBangsa agar negara ini  bebas daripada kemelut ketidakstabilan politik dan isu rasuah," kata kenyataan itu lagi.