KUALA LUMPUR: Usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat adalah bagi memastikan kestabilan Kerajaan Perpaduan sekali gus menarik kepercayaan pelabur luar dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), ketika sesi perbahasan usul tersebut pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15, berkata rakyat sudah bosan dengan keadaan politik tidak menentu sehingga berlaku pertukaran kerajaan yang akhirnya membantutkan pertumbuhan ekonomi negara.

"Berilah laluan kepada Perdana Menteri yang baharu ini, saya yakin dia boleh melakukan yang terbaik untuk kerajaan kita, kasihanlah negara kita, kasihanlah rakyat," katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Lim Guan Eng (PH-Bagan) berkata Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Anwar sudah berikrar dengan iltizam yang jitu untuk menstabilkan iklim politik, memakmurkan ekonomi dan menyatupadukan rakyat serta memartabatkan Malaysia di mata dunia.

Dalam pada itu, beliau berkata pada kebiasaannya, usul seumpama itu tidak dibahaskan dan terus kepada sesi pengundian, namun atas komitmen kerajaan yang menerapkan nilai demokrasi, Ahli Parlimen dibenarkan mengambil bahagian membahaskannya.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut), mengakui kepercayaan negara luar terhadap Malaysia mesti dikekalkan dengan imej baik dan keutamaan perlu diberikan kepada pembangunan ekonomi negara bagi menentukan rakyat hidup dalam keadaan aman dan sejahtera.

Bagaimanapun, beliau mendakwa usul undi percaya terhadap Perdana Menteri tersebut hanya sekadar gimik kerana dilakukan selepas perjanjian persefahaman kerjasama (MoA) antara gabungan parti politik dalam Kerajaan Perpaduan.

Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) pula mencadangkan supaya usul berkenaan ditangguhkan selama 21 hari bagi menunggu laporan berhubung kedudukan empat Ahli Parlimen dari parti Bersatu yang bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ini selepas Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, pada 10 Dis lepas, mengumumkan pemimpin Bersatu Sabah membuat keputusan sebulat suara untuk keluar daripada parti itu, namun kekal di bawah GRS.

Empat Ahli Parlimen berkenaan ialah Datuk Matbali Musah (Sipitang), Datuk Armizan Mohd Ali, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Papar), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi).

Terdahulu, Timbalan Perdana, Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof membentangkan usul undi percaya itu bagi menyokong pelantikan dan kepimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.

Bagaimanapun, selepas usul itu dibentangkan, suasana Dewan Rakyat kecoh seketika apabila Datuk Seri  Shahidan Kassim (PN-Arau) bangun mempersoalkan keperluan pembentangan usul tersebut.

Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) mencelah dengan mengatakan usul itu dilakukan kerana Pakatan Harapan (PH) berani membuat usul membuktikan sokongan kepada Anwar berbanding ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.

Usul berkenaan kemudian diluluskan Dewan Rakyat dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan 13 wakil rakyat daripada blok kerajaan dan pembangkang.

-- BERNAMA