KOTA KINABALU: Parti Warisan percaya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen susulan usul undi percaya di Dewan Rakyat Isnin ini.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, di peringkat awal lagi, parti itu sudah menyatakan sokongan kepada Anwar memimpin Kerajaan Perpaduan.

"Mengenai usul undi percaya kepada Perdana Menteri, saya yakin Anwar akan dapat mandat yang cukup untuk membolehkannya memimpin negara ini.

"Dari segi Warisan, kita dari awal lagi menjelaskan pendirian menyokong Kerajaan Perpaduan demi menyatupadukan masyarakat," katanya ketika diminta mengulas mengenai usul undi percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat Isnin depan.

Malah, Ahli Parlimen Semporna itu berkata, beliau akan menandatangani perjanjian dengan Pakatan Harapan (PH) pada esok (Jumaat) bersama-sama dengan parti atau gabungan lain sebagai langkah mengukuhkan kedudukan kerajaan Pusat.

"Kita akan menandatangani perjanjian di antara kerajaan Pakatan Harapan sekali dengan badan-badan lain dan Insyaallah saya kena hadir pada esok petang jam 3.00 petang,"katanya. 

Selain itu, Mohd Shafie ketidaktentuan politik di Sabah sedikit sebanyak dipengaruhi oleh keadaan politik di peringkat Persekutuan.

Sehubungan itu, beliau melihat kestabilan politik Pusat perlu bagi memacu kepada kestabilan negara.

"Kena berperingkat, selesaikan dahulu masalah di persekutuan dan ini yang penting kepada kita sebab di situ (Persekutuan) adalah nadi," katanya.