Usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak kena pada masanya di saat negara sedang berhempas pulas dalam berdepan cabaran COVID-19.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, seluruh dunia termasuk Malaysia kini sedang bersatu hati mendepani cabaran sangat getir yang memerlukan kerjasama masyarakat tanpa mengira latar belakang dan perbezaan parti politik masing-masing.

“Semua pihak ketika ini harus mengetepikan kepentingan politik dan peribadi bagi kestabilan, ketenteraman dan keharmonian rakyat serta negara.

“Ini satu cabaran yang dihadapi semua kerana dunia sedang berdepan dengan COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.

BACA: Bila usul itu akan dikemukakan Speaker? - Penganalisis Politik

BACA: Dewan Rakyat terima usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin

Dewan Rakyat sebelum ini menerima usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin untuk dibawa pada Mesyuarat pertama, penggal ketiga Parlimen ke-14 yang akan bersidang pada 18 Mei ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof memaklumkan usul diterima di bawah Perkara 27 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Lantaran itu, Mohd Rafiq yang juga calon Naib Presiden Bersatu berkata, rakyat tidak kira pemimpin mahupun latar belakang politik seharusnya mengetepikan ideologi masing-masing dan memberi fokus kepada isu utama yang lebih besar.

Tegasnya, mereka perlu memberi sokongan penuh kepada kepimpinan dan pentadbiran negara diterajui Muhyiddin dalam bersama-sama menghadapi cabaran berkenaan.

Selain itu, Mohd Rafiq percaya, kehadiran bulan Ramadan dan Syawal yang mulia ini sepatutnya menjadi platform terbaik bagi Tun Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin dan pimpinan Bersatu lain untuk berbincang.

“Semua harus mengecilkan perbezaan dan mencari titik persamaan bagi keharmonian dan perpaduan parti,” jelasnya.

Sebelum ini, penganalisis politik, Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid menjelaskan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri adalah sesuatu yang dibenarkan dalam Perlembagaan Malaysia bagi membuktikan Perdana Menteri tidak mempunyai majortiti sokongan ahli Dewan.