SHAH ALAM : Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dicadang untuk memfokuskan kepada apa yang diberikan padanya waktu ini iaitu sebagai Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan 'first lady'.

Ahli Parlimen Sekijang, Dr Zaliha Mustafa berkata, ini kerana kedua-dua tanggungjawab yang diberikan padanya itu adalah sangat besar.

"Bukan nak kata tak wajar (dilantik menjadi menteri) tetapi saya rasa elok juga Dr Wan Azizah fokus kepada apa yang telah diberikan setakat ini.

"Maknanya apa yang perlu dibawa sebagai 'first lady' dan apa yang perlu dilaksanakan sebagai Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

"Tetapi kalau beliau bersedia (menjadi menteri), insya-Allah saya yakin beliau boleh dan mampu untuk memegang apa-apa sahaja jawatan kalau diberikan peluang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis dalam program Sinar Live bertajuk ‘Cabaran Kabinet Kecil Anwar’ yang disiarkan di semua platform Sinar Harian, pada Ahad.

Turut menjadi panelis adalah Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan Pengarah Eksekutif Institut Darul Ehsan, Datuk Ismail Yusop manakala Fahiz Ariff bertindak sebagai moderator.

Zaliha sebelum itu ditanya adakah wajar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik isterinya, Dr Wan Azizah sebagai menteri kabinet yang berkemungkinan akan mewujudkan satu sentimen yang tidak baik.

Tambah Zaliha, isu kewajaran atau tidak Dr Wan Azizah dilantik menjadi menteri itu tidak menjadi masalah padanya.

Katanya, Dr Wan Azizah layak dari segi merit tetapi persepsi orang ramai tentang pelantikan tersebut juga perlu ditangani dengan sebaiknya.

"Yang kedua perlu dilihat ialah kehendak Dr Wan Azizah sendiri," katanya. - Sinar Harian