SHAH ALAM: Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melahirkan rasa terkilan ketika menyentuh konflik dalaman parti melibatkan musuh dalam selimut ketika proses pemilihan PKR baru-bru ini.

Walaupun tidak memperincikan insiden yang berlaku namun kenyataan tersebut dipercayai melibatkan pertikaian berhubung keputusan pemilihan parti berkenaan.

“Saya rasa sedikit emosi kerana saya kasihkan semua ahli parti. Kasih sayang saya kepada anggota parti Tuhan sahaja yang mengetahui. Dalam pemilihan, mesti ada menang, mesti ada kalah, itu biasa.

“Saya biasa kalah dalam hidup tetapi tidak bermaksud saya memusuhi, semua anggota adalah adik, anak dan saya rasa begitu.

“Pemilihan sudah berakhir, inilah masanya untuk kita kembali merangkul kekuatan dan terus konsisten dengan perjuangan asal kita.

"Kita bukan bermusuh, kita parti yang sama, kalau nak tinggalkan, tinggalkanlah tidak mengapa. Tetapi dalam parti kita jangan jadi musuh dalam selimut, jadi api dalam sekam.

"Jangan menghancurkan apa yang kita sama-sama bina. Nak pergi, pergilah. Tidak dapat rahmat,” katanya ketika berucap pada Kongres Nasional PKR ke-16 pada Jumaat.

Dalam pada itu Wan Azizah mengakui sepanjang 23 tahun perjuangan, kesetiaan ahli tidak pernah tergugat walaupun diduga dengan pelbagai mehnah, tohmah dan kemelut perpecahan serta tiada disiplin kepada keputusan yang memberikan kesan kepada kestabilan organisasi.

Justeru katanya, semua senario itu menjadikan kongres pada kali ini cukup penting dalam jejak perjalanan perwakilan sebagai pendukung parti.

“Kita telah melalui proses pemilihan parti yang tidak sedikit mencalarkan nama parti dan menguji persaudaraan kita ketika bertembung semasa berkempen dan membuat pilihan memilih pemimpin parti dalam semarak pesta demokrasi.

“Dalam mana-mana pertandingan akan ada yang menang dan akan ada yang kalah. Itu perkara biasa. Tetapi, kita harus ingat kepada adab sebagai seorang kawan dan lawan, adab, akhlak serta kesopanan.

“Saya mengharapkan sikap istiqamah dan konsisten yang berpanjangan dalam perjuangan ini digandingkan dengan niat mencari titik-titik persefahaman, tidak bersikap eksklusif atau mengamalkan budaya berpuak mengumpul pengikut, tidak bersedia untuk bekerjasama dengan pihak-pihak di luar kelompok sendiri,” katanya. -Sinar Harian