KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu berpegang teguh dengan agenda reformasinya dan tidak boleh digugat oleh tekanan daripada sesiapa pun atas kepentingan politik.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan khuatir Anwar akan didesak golongan tertentu dalam kerajaannya hingga akhirnya terpaksa menggadaikan perjuangan yang dijulangnya selama ini.

Oleh hal demikian, tegas beliau, Anwar perlu memegang erat katanya tidak berkompromi dalam soal integriti dan tetap membawa pelaku korupsi untuk diadili mengikut lunas undang-undang negara ini.

“Saya sebenarnya agak kesian dengan Perdana Menteri kita kerana sekian lama bercakap mengenai reformasi, hari ini beliau akan berhadapan dengan satu kelompok yang boleh mengugutnya dan pernah ada rekod menjatuhkan kerajaan sendiri.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin dijatuhkan oleh 15 orang UMNO-Barisan Nasional (BN) yang kini berada dalam kerajaan sekarang dan kedudukan Anwar amat bergantung kepada kewujudan mereka dalam blok kerajaan,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Rabu.

Sekiranya kesungguhan Anwar untuk melakukan reformasi institusi yang selalu beliau laungkan itu diganggu-gugat, maka Wan Saiful bimbang kerajaan yang baharu ini juga akan berdepan ketidakstabilan.

Dalam hal itu, Wan Saiful melihat kes-kes mahkamah yang dihadapi individu-individu dalam blok kerajaan akan terus menjadi perhatian bukan sahaja negara ini berhubung sejauh mana Anwar dapat mengotakan segala janjinya setelah berjaya menjadi Perdana Menteri.

Saya kesian dengan Perdana Menteri - Wan Saiful