KUALA LUMPUR: Wanita MIC menyasar untuk mencapai 5,000 keahlian Briged Wanita MIC menjelang Februari depan yang antara lain akan menjadi platform parti itu mendekati golongan wanita muda untuk menjalankan kerja-kerja sukarela dan kebajikan.

Ketua Wanita MIC Datuk Mohana Muniandy berkata sejak ia dilancarkan Disember lepas, keahliannya telah mencecah 1,500 orang.

"Melalui Briged Wanita MIC ini, kita telah bantu kira-kira 10,000 keluarga ketika negara dilanda banjir baru-baru ini terutamanya di Taman Sri Muda, Hulu Langat, Dengkil di Selangor, Karak dan Temerloh di Pahang.

"Jadi hasrat Briged Wanita MIC untuk jemput dan beri peluang kepada wanita muda untuk jadikan platform ini untuk bersama dan beri pertolongan sekali gus bekerjasama dengan ahli politik," katanya selepas Mesyuarat Pertama Majlis Tertinggi Wanita MIC Kebangsaan sesi 2021-2024 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohana berkata pihaknya juga akan mengadakan program permukiman dengan semua ketua wanita dan timbalan ketua wanita Bahagian dalam masa terdekat bagi membuat persediaan di peringkat akar umbi dalam menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.

-- BERNAMA