KOTA KINABALU: Bekas Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony menyifatkan parti itu sudah tersasar jauh daripada perjuangan sebenar penubuhannya.

Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu lagi, presiden parti, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal juga dilihat tersasar dengan perjuangan apabila melebarkan sayap ke Semenanjung.

"Kami percaya perjuangan Warisan ini telah jauh tersasar apabila mereka beralih untuk pergi ke Kuala Lumpur sedangkan rata-rata pengundi dan rakyat Sabah mahukan parti yang betul-betul memperjuangkan nasib mereka selaku parti tempatan di negeri Sabah ini," jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Kota Kinabalu pada Selasa.

Pada sidang media itu, Peter mengumumkan keluar Warisan selepas hilang kepercayaan kepada parti.

Malah, beliau turut memberitahu akan menubuhkan satu parti tempatan baharu yang akan diumumkan Januari 2022.

Selain Peter, turut mengumumkan keluar parti ialah ADUN Limbahau, Datuk Juil Nautim.

Ditanya sama ada keputusan meninggalkan Warisan dibuat selepas mendapat tekanan daripada mana-mana pihak, Peter menambah ia merupakan keputusan peribadi beliau.

"Penububan parti ataupun keputusan untuk keluar dari Warisan ini bukanlah disebabkan kerana saya mempunyai kes di mahkamah dan sebagainya, kes tersebut belum diputuskan, keputusan itu masih di peringkat mahkamah," katanya.

Berhubung parti yang bakal ditubuhkan itu beliau berkata parti baharu itu nanti adalah parti tempatan dan melibatkan pelbagai suku kaum di negeri itu. 


Hilang Kepercayaan | Warisan jauh tersasar, Peter tinggalkan parti