KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) tidak goyah walaupun beberapa bekas pemimpin tertinggi meninggalkan parti itu.

Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata di sebalik perkara itu, hakikatnya Warisan semakin diterima ramai.

"Warisan tidak goyah dan menubuhkan parti baharu adalah perkara biasa dalam politik.

"Dari Parti Bersatu Sabah PBS telah melahirkan banyak parti lain berasaskan kaum tertentu seperti Parti Bersatu Rakyat Sabah PBRS, Parti Maju Sabah SAPP, Parti Kinabalu Progresif Bersatu UPKO dan Parti Liberal Demokratik LDP," katanya ketika ditemui media di sini.

Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang itu dengan keluar parti dan menubuhkan parti yang berasaskan kaum tertentu tidak mampu mengubah corak pembangunan negara.

"Tetapi perubahan tidak berlaku, itu yang saya katakan di Sabah ini kena ada perubahan.

"Negara kita masih dalam landasan keadaan kaum dan agama yang membimbangkan."jelasnya.

Warisan sejak awal tahun lepas berdepan krisis selepas beberapa pemimpinnya  mengambil keputusan meninggalkan parti itu.

Bermula dengan ADUN Sebatik, Hassan Pangeran Amir pada Februari 2021, diikuti pemimpin kuat masyarakat Kadayan yang juga ADUN Sindumin, Datuk Yusof Yacob dan ADUN Segama, yang juga bekas Menteri Pelancongan, kKebudayaan  dan Kesenian Datuk Mohamaddin Ketapi pada bulan Oktober 2021.

Naib Presiden Warisan merangkap ADUN Melalap, Datuk Peter Anthony dan Adun Limbahau, Datuk Juil Nuatim pula secara rasmi meninggalkan parti itu pada 28 Disember 2021 selepas hilang kepercayaan kepada parti itu.

BACA: Sah, giliran Peter Anthony tinggalkan Warisan, bakal tubuh parti tempatan baharu