KUALA LUMPUR: Cara terbaik untuk bina semula negara adalah dengan menampilkan lebih banyak tokoh muda dalam parti politik sekali gus memberikan ruang untuk bertanding dalam pilihan raya.

Bagi Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha, lebih banyak pemimpin muda dicalonkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah satu permulaan yang baik untuk memacu negara ke hadapan.

“Jadi dengan meletakkan tokoh tokoh muda ini, sebenarnya secara langsung atau tidak langsung, sebahagian dari usaha untuk kita reset semula Malaysia.

“Kerana berdasarkan pemerhatian sebagai Presiden Majlis Belia Malaysia, saya melihat malah dalam kalangan ahli-ahli politik muda mereka mempunyai budaya yang berbeza dengan ahli politik senior.

“Mereka tidak lagi mahukan perpecahan, mereka tidak lagi mahu ada politik naungan, tak mahukan politik yang terlalu tajam.

“Sebaliknya mereka ingin melihat politik yang lebih progresif ke depan dan paling penting adalah untuk memacu Malaysia ke depan, sekali gus menyelesaikan isu-isu asas generasi muda.

“Contohnya, seperti soal pekerjaan dengan gaji yang bermaruah kemudian dengan membawa pelabur-pelabur yang lebih banyak masuk ke Malaysia.

“Juga, lebih penting adalah apabila menempatkan Malaysia di sekurang-kurangnya di kedudukan 20 terbaik di mana-mana indeks,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Astro AWANI sebagai memberi reaksi kepada kandungan memoir Datuk Seri Nazir Razak yang berjudul What’s In A Name.

Memoir itu yang menyentuh mengenai isu ketidakstabilan negara yang berlaku sejak sekian lama itu berpunca dari masalah raksasa berkepala tiga iaitu politik wang, politik identiti, pemusatan kuasa melampau.