TIADA keperluan mendesak untuk segera diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Itu tegas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin seperti dilaporkan The Straits Times Singapore.

Menteri Kesihatan itu yang dalam rangka kerja ke Singapura memberikan respons tersebut selepas diajukan soalan mengenai situasi politik di Malaysia oleh media di republik itu.

Khairy tidak menafikan kepentingan kestabilan politik di negara ini, namun berpandangan tidak ada bezanya jika PRU15 diadakan pada tahun ini atau tahun depan.

"Mereka yang mahukan pilihan raya sekarang adalah mereka yang terdesak mahu menjadi menteri dan Timbalan Perdana Menteri," kata beliau hari ini.

Sejak Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diangkat menjadi Perdana Menteri, terdapat desakan daripada pihak tertentu termasuklah dalam kalangan pemimpin UMNO sendiri yang mahukan PRU15 diadakan segera.

Ditanya mengenai perkara itu, ini reaksi Khairy: "Kami hormati pandangan anda sebagai kepimpinan parti..tetapi kekal di landasan anda, tunggu giliran."

Khairy berada di Singapura bermula 31 Mei hingga 3 Jun sebagai Felow Pertukaran Lee Kuan Yew yang ketujuh dari Malaysia.

Dalam rangka kerja itu, beliau turut mengadakan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong di Istana Presiden.