YDP Agong akan adakan pertemuan dengan ketua-ketua pimpinan parti politik - Istana Negara

Astro Awani
Februari 28, 2020 08:16 MYT
Seri Paduka Baginda akan terus berusaha untuk mencari jalan penyelesaian selaras dengan Perlembagaan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat.
Pihak Istana Negara akan menghubungi Ketua-ketua pimpinan parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat, bagi memberi peluang kepada mereka untuk mengemukakan pencalonan nama Ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri ke-8.
Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan pada Jumaat berkata, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah masih belum memperoleh keyakinan mengenai ada seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mendapat kepercayaan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat bagi membentuk kerajaan baharu.
"Seri Paduka Baginda juga turut berkenan dengan keputusan yang telah diambil oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk tidak memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada Isnin 2 Mac 2020.
"Seri Paduka Baginda seterusnya akan terus berusaha untuk mencari jalan penyelesaian selaras dengan Perlembagaan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat jelata dan negara yang kita cintai bersama," katanya lagi.
#AgongKita #Malaysia2020 #Yang di-Pertuan Agong