KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar Ahli Dewan Rakyat gabungan tersebut mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan.

Memetik laporan Malaysiakini, Ahmad Zahid berkata, beliau bersama dua lagi pemimpin tertinggi BN menerima titah tersebut ketika menghadap Seri Paduka Baginda pada Rabu.

Namun, Ahmad Zahid tidak menyatakan gabungan mana yang akan menerajui kerajaan perpaduan tersebut.

“Titah Tuanku ialah bentuk kerajaan perpaduan,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.

Dalam pada itu, satu mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO akan diadakan pada Rabu malam diikuti mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

Sehingga kini, selepas empat hari Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlalu, belum ada mana-mana gabungan dapat membentuk kerajaan.

PH dan Perikatan Nasional (PN) kini sedang bersaing untuk mendapatkan sokongan dari parti lain.


LIHAT KALKULATOR MAJORITI PASCA PRU15 DI SINI