KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan parti itu mencadangkan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai calon Ketua Menteri Melaka yang baharu.

Menurutnya, cadangan itu telah disampaikan kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam menerusi warkah yang turut memaklumkan peletakan jawatan Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Ahmad Zahid turut memaklumkan Sulaiman memberitahunya faktor kesihatan merupakan faktor beliau meletakkan jawatan.

Ketika ditanya pembahagian jawatan Exco Negeri, Timbalan Perdana Menteri itu percaya semangat Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional akan diterjemahkan di Melaka. 

“(Exco dari PH ke, atau macam mana?)

“Saya telah membincangkan perkara ini. Kita mengambil semangat Kerajaan Perpaduan yang telah berjalan dengan baik di peringkat nasional.

“Saya yakin semangat itu akan dihilirkan ke Melaka supaya optik yang baik dapat diperlihatkan kepada bukan sahaja rakyat Melaka tapi untuk rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

“Insya-Allah,” katanya pada sidang media Mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan Dan PMKS Kebangsaan (MPUPK) di Bangunan Parlimen pada Khamis.

[TERKINI] Zahid sahkan UMNO cadang nama Ab Rauf calon Ketua Menteri Melaka yang baharu


Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Melaka pada Khamis mengesahkan Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka akan diadakan Jumaat ini.

SUK Negeri, Datuk Zaidi Johari berkata, Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam sudah menerima surat peletakan jawatan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12.

Istiadat itu akan diadakan di Dewan Sri Utama, Pejabat Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka di Kompleks Seri Negeri pada jam 3 petang.