KUALA LUMPUR: Penyandang kerusi Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin adalah Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang sah mengikut perlembagaan parti dan tidak sepatutnya dipersoalkan, kata Setiausaha Agungnya, Nor Hizwan Ahmad.

Beliau berkata pelantikan Zuraida, yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, telah dipersetujui dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Keenam parti itu pada 1 Oktober lepas dan minit mesyuarat tersebut telahpun dihantar ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Katanya, perkara itu juga telah dipersetujui sejak awal penubuhan parti itu lagi bahawa bekas Presiden Datuk Larry Sng Wei Shien akan melepaskan jawatan itu kepada Zuraida dan tidak wajar bagi Sng mempersoalkan perkara itu.

"Tindakan beliau (Sng) itu tidak patut, saya merasakan ini adalah usaha untuk sabotaj parti ataupun sandiwara publisiti. Dia boleh berhujah bhawa beliau masih presiden tetapi usul melantik Zuraida telah diluluskan pada mesyuarat AGM itu.

"Sng juga telah berkali-kali mengakui keabsahan Zuraida sebagai presiden melalui pesanan ringkas WhatsApp apabila berurusan dengan ahli-ahli Majlis Tertinggi PBM," katanya pada sidang media di Pusat Gerakan Utama PBM Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa, di sini, hari ini.

Sng dalam kenyataan dimuat naik dalam akaun Facebooknya kelmarin berkata beliau tidak pernah meletak atau melepaskan jawatan sebagai presiden PBM selain memaklumkan akan bertanding menggunakan lambang parti PBM pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 Nov ini.

Dalam hantaran di akaun Facebook semalam, Sng sekali lagi menegaskan beliau masih presiden parti itu yang sah seperti dalam rekod RoS serta mengumumkan penggantungan jawatan Nor Hizwan dan Ketua Penerangan PBM, Zakaria Abdul Hamid.

Mengulas mengenai isu penggantungan itu, Hizwan menyangkal tindakan itu kerana penyandang kerusi Parlimen Julau itu bukan lagi presiden parti dan tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

"Pada saya, saya hanya menerima arahan daripada presiden dan ia adalah Zuraida, jadi rasa ia adalah budi bicaranya untuk menggantung jawatan kami," katanya.

-- BERNAMA