KUALA LUMPUR: Atlet ski air negara Aaliyah Yoong Hanifah telah menerima jemputan daripada Persekutuan Ski Air dan Papan Luncur Antarabangsa (IWWF) untuk bertanding di Kejohanan Dunia di Birmingham, Alabama Amerika syarikat (AS) yang dijadualkan pada 7 hingga 17 Julai.

Aaliyah, 18, dalam satu kenyataan dikongsikan Persekutuan Ski Air dan Papan Luncur Malaysia berkata beliau merupakan seorang daripada lapan atlet luncur air yang akan bertanding dalam acara 'tricks' wanita.

Beliau berkata beliau juga salah seorang daripada atlet luncur air dari Asia yang akan bertanding, dengan seorang lagi atlet ialah Saaya Hirosawa dari Jepun, yang akan bertanding dalam acara 'jump'.

"Walaupun kekurangan latihan sejak lebih dua tahun akibat COVID-19, saya rasakan yang saya kini berada dalam langkah yang tepat dan meningkat semula selepas memulakan latihan secara konsisten.

"Saya percaya saya mampu berada dalam 10 terbaik dalam acara 'tricks' wanita terbuka dan dalam kategori keseluruhan. Cuma peluncur dari AS, Amerika Selatan dan Eropah mempunyai lebih banyak kejohanan setiap bulan berbanding saya, yang menyebabkan ranking mereka lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aaliyah berkata beliau mahu cuba menempatkan dirinya pada kedudukan lima terbaik pada Kejohanan Dunia itu dan tentunya akan lakukan yang terbaik bagi meningkatkan lagi kedudukan rangkingnya.

Sebagai persediaan beliau untuk Kejohanan Dunia itu, Aaliyah akan ke Florida, AS pada 9 Jun di mana beliau akan berlatih di 'Pickos Waterski School' dan berlatih di bawah bekas juara dunia dan pemegang rekod dunia Cory Pickos.

Aaliyah akan disertai jurulatihnya Larry Gisler yang akan bertolak dari Santiago, Chile untuk menyertainya di AS.

Aaliyah juga akan bertanding dalam dua kejohanan di Tasik Grew Polk City, Florida (18-19 Jun) dan West Palm Beach, Florida (25-26 Jun).

"Jadi pada dua kjohanan sebelum Kejohanan Dunia, saya mensasarkan untuk untuk menghampiri atau lebih baik daripada catatan mata terbaik saya, bagi meningkatkan kedudukan rangking dan memperbaiki kedudukan dunia saya," katanya.

Aaliyah mahu memperbaiki catatan peribadi terbaiknya dalam 'tricks' iaitu 7,680 yang beliau lakukan ketika Kejohanan Asia 2019.

Mei lepas, atlet Malaysia itu kekal cemerlang di Australia apabila menang emas acara wanita terbuka di Kejohanan Moomba Masters 2022 di Melbourne.

-- BERNAMA