KANGAR: Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 bagi acara lompat jauh T20 (kecacatan intelektual) iaitu Abdul Latif Romly hari ini menerima insentif berjumlah RM150,000 daripada Kerajaan Negeri Perlis sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan beliau.

Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man berkata penghargaan itu diberikan kerana Abdul Latif, 24, berjaya mengharumkan nama negara seterusnya Perlis melalui pingat yang disumbang beliau kepada tanah air.

"Seluruh rakyat Perlis hari ini menumpang kejayaan yang diberikan oleh Abdul Latif, yang juga anak jati negeri ini. Jadi, kerajaan negeri buat keputusan untuk memberikan insentif kepada beliau hari ini," katanya di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyerahkan insentif itu kepada Abdul Latif, yang hadir bersama-sama ibu bapanya iaitu Salmah Yatim dan Romly Mat, di Pejabat Menteri Besar.

Azlan turut memaklumkan Perlis akan mewujudkan dua anugerah iaitu olahragawan dan olahragawati mulai tahun depan untuk memberikan penghargaan kepada atlet yang mengharumkan nama negeri itu.

"Satu jawatankuasa akan ditubuhkan di bawah Majlis Sukan Negeri (MSN) bagi menilai kriteria atlet yang layak diberikan anugerah itu," katanya.

Sementara itu, Abdul Latif ketika ditemui berkata beliau kini 'berehat' di rumahnya di Beseri selama sebulan hingga akhir Oktober ini sebelum kembali ke MSN Bukit Jalil bagi meneruskan sesi latihan.

"Buat masa ini, jurulatih (Shahrul Amri Suhaimi) bagi saya balik sini rehat dulu, nanti balik ke sana saya akan sambung semula latihan sebagai persediaan menyertai kejohanan di luar negara," katanya.

Beliau akan menyertai Kejohanan Olahraga Para Dunia di Kobe, Jepun serta Sukan Para ASEAN di China dan Vietnam tahun depan.

Untuk rekod, Abdul Latif pernah memenangi pingat emas pada Sukan Paralimpik Rio pada 2016 bagi acara sama.

-- BERNAMA