ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta'zim (JDT) menewaskan Guangzhou FC 2-0 dalam perlawanan timbal balik aksi Kumpulan I kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam ini.

Awal perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan ligat mengasak benteng pertahanan lawan masing-masing dengan beberapa percubaan.

Gawang juara lapan kali Liga Super China itu dibolosi pada minit ke-16 selepas pengadil Payam Heidari menghadiahkan penalti kepada JDT apabila Bergson Da Silva dikasari Feng Yifan, sekali gus membolehkan pemain sensasi itu meledakkan gol pertama buat JDT.

Bagaimanapun JDT gagal memanfaatkan peluang terhidang untuk menambah jaringan selepas tendangan Bergson pada minit ke-33 berjaya ditepis penjaga gol Zhang Jihao.

Pasukan kendalian Pan Yong He dilihat seakan sukar menemui rentak permainan selepas diasak serangan JDT.

Satu minit sebelum tamat perlawanan, anak buah Benjamin Mora sekali lagi dihadiahi penalti menerusi Bergson selepas Ramadhan Saifullah dikasari Shadeer Sihakejiang dan keputusan kekal 2-0.

Susulan kemenangan itu, JDT kini menghuni tangga kedua dengan 10 mata di belakang Ulsan Hyundai juga dengan 10 mata cuma dipisahkan dengan perbezaan gol, manakala Kawasaki Frontale turun di tempat ketiga dengan lapan mata diikuti Guangzhou FC tanpa sebarang mata.

Pada aksi petang tadi, Ulsan Hyundai dari Korea Selatan mencatat kemenangan ketiga apabila menumpaskan pasukan Kawasaki Frontale dengan 3-2 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

-- BERNAMA