ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak akan memandang rendah cabaran pasukan kedua Guangzhou FC, apabila kedua mereka bertemu pada perlawanan Kumpulan I Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022 di Stadium Sultan Ibrahim malam esok, kata Ketua Jurulatih JDT Benjamin Mora.

Beliau berkata bagi pasukan Harimau Selatan itu, juara lapan kali Liga Super China itu masih dianggap sebagai lawan yang sukar, walaupun mereka tidak membariskan skuad utama tetapi pemain muda mereka.

"Saya tidak mahu melihat dari segi mereka itu muda atau tidak, sebaliknya saya melihat dari pandangan sama ada mereka pemain yang bagus atau tidak, dan ia tiada kena mengena dengan umur mereka.

"Kita tidak boleh anggap mereka muda dan kurang berpengalaman, sebaliknya pemain muda lebih dahagakan kejayaan," katanya pada sidang media praperlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, di sini hari ini.

Mora turut menjelaskan bahawag JDt adalah pasukan yang kerdil berbanding pasukan lain yang bertanding dalam Kumpulan I, tetapi tidak salah bagi pasukan itu untuk meletakkan impian untuk melepasi peringkat kumpulan.

"Untuk meletakkan impian adalah percuma, tetapi kami tahu impian sahaja tidak mencukupi, jadi kami perlu bertindak dan percaya kepada keupayaan pemain JDT. Pada masa ini momentum kami agak bagus terutamanya dalam liga tempatan, jadi kami mahu kekalkan momentum itu dalam pertandingan ACL," katanya.

Mora berkata, bermain di ACL di laman sendiri sebagai tuan rumah untuk kesemua perlawanan Kumpulan I adalah satu kelebihan, kerana pemain sudah biasa dengan suasana, padang dan cuaca dan dalam masa yang sama bermain di hadapan keluarga dan peminat tempatan.

Pasukan itu juga masih belum membuat keputusan sama ada ketua pasukan JDT dan penjaga gol utama Mohd Farizal Marlias akan bermain esok akibat kecederaan dialaminya ketika perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC di stadium Sultan Ibrahim, Sabtu lepas.

Sementara itu Ketua Jurulatih Guangzhou FC Pan Yonghe berkata pasukannya tidak takut berhadapan JDT walaupun menghantar pasukan kedua daripada akademi mereka di ACL, kerana yakin akan keupayaan mereka selepas mengadakan beberapa perlawanan persahabatan yang menunjukkan keputusan yang positif.

"Kami tahu JDT satu pasukan yang kuat, mereka adalah nombor satu dalam liga tempatan tetapi kami tidak takut. Sebaliknya ini satu peluang baik untuk pemain muda kami bertanding dalam perlawanan berkualiti tinggi," katanya.

Selepas ketiadaan selama dua tahun, Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada tiga kejohanan peringkat Asia, bermula dengan perlawanan Kumpulan I ACL, diikuti perlawanan Kumpulan H Piala AFC 2022 dan Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023.

Selain JDT, pasukan dalam Kumpulan I ACL adalah Guangzhou FC (China) , Kawasaki Frontale (Jepun) dan Ulsan Hyundai FC (Korea Selatan) dengan perlawanan bermula esok sehingga 30 April di dua venue iaitu Stadium Sultan Ibrahim dan Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos Stadium, di Larkin, Johor Bahru.

-- BERNAMA