Ada penaja, KFA bayar lagi RM1.26 juta gaji pemain minggu ini - Sanusi

Adie Sufian Zulkefli
Ogos 26, 2020 22:50 MYT
Muhammad Sanusi (duduk tengah) bergambar ramai selepas Majlis Menandatangani MoU Penajaan Biasiswa dan Pinjaman Pendidikan antara UniSHAMS, LZNK dan Yayasan Islam Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar, 26 Ogos, 2020. - Astro AWANI
Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) akan mengotakan janjinya untuk melunaskan bayaran gaji tertunggak pemain sebanyak RM1.26 juta pada hujung minggu ini.
Perkara itu diumumkan Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor, selaku Presiden KFA, yang memaklumkan jumlah bayaran itu termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Ada penaja yang telah bersedia. InsyaAllah hujung minggu ini saya akan buat satu pembayaran lagi, RM1.26 juta gaji dan KWSP, sebelum mereka beraksi," katanya.
Beliau ditemui selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Penajaan Biasiswa dan Pinjaman Pendidikan antara Universiti Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah (UniSHAMS), Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan Yayasan Islam Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, pada Rabu.
BACA: Pemain Kedah terguris kenyataan presiden KFA
VIDEO: Aidil Sharin Sahak mahu KFA kotakan janji kepada pemain
BACA: Kenyataan Sanusi tambah perit skuad Kedah
Jelasnya, pembayaran gaji itu akan dilunaskan sebelum pasukan Kedah beraksi menentang PDRM FA pada saingan CIMB Liga Super Sabtu ini di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
12 Ogos lalu, Astro AWANI melaporkan KFA memberi jaminan bahawa isu gaji tertunggak yang dihadapi pemain sejak Mac lalu akan dapat diselesaikan pada musim 2020 ini.
BACA: KFA jamin selesai gaji pemain selepas fasa ketiga PKP
VIDEO: Kemelut tunggakan gaji pemain bola sepak Kedah
BACA: Tidak boleh guna peruntukan kerajaan negeri bayar gaji pemain Kedah - Muhammad Sanusi
KFA juga sudah menjelaskan bayaran gaji bagi Julai selepas skuad Lang Merah tidak menerima sebarang tunggakan gaji sejak lebih lima bulan lalu.
Bagaimanapun, bagi tunggakan gaji bulan Mac, April, Mei dan Jun, KFA masih belum menyatakan bila akan diselesaikan dan ia bergantung kepada rundingan bersama pemain.
#bola sepak #gaji #Kedah #KFA #KWSP #Muhammad Sanusi Md Nor #pemain #penaja #rundingan #tunggakan #UniSHAMS