Malaysia menundukkan tuan rumah Singapura 3-1 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Suzuki AFF, sekali gus menempah slot ke peringkat separuh akhir.

Kesilapan penjaga gol Singapura pada minit ke-92, dihukum Malaysia apabila hantaran dari hadapan pintu gol negara disudahkan Indra Putra untuk kedudukan 3-1 di Stadium Jalan Besar Singapura.

Gol pertama negara diperoleh hasil sepakan padu Safee Sali pada minit ke-61 dalam separuh masa pertama hasil cubaan dalam kotak penalti.

Kehadiran lautan penyokong pasukan tuan rumah tidak sedikit pun menggugat semangat anak buah Dollah Salleh yang mempamerkan semangat juang tinggi dan pengawalan bola yang baik.

Gandingan Amri Yahyah, Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali tampak ampuh dengan sesekali menggoncang gawang Singapura melalui gerakan berbisa.

Percubaan Safee Sali di babak pertama hampir meletakkan Malaysia di depan, namun rembatannya sekadar menggegar tiang gol.

Kubu pertahanan Harimau Malaya yang dibarisi Shukor Adan dan Muslim Ahmad yang menggantikan pilihan utama Fadhli Shas dan Afif beraksi cemerlang menggagalkan beberapa cubaan lawan untuk membolosi gawang gol.

Menjelang penghujung babak kedua, penyerang Singapura Khairul Amri berjaya menyamakan kedudukan hasil kealpaan barisan pertahanan negara.

Pergelutan di hadapan pintu gol Singapura dalam masa tambahan telah menghadiahkan sepakan penalti yang diambil Safiq Rahim untuk kedudukan 2-1

Pemain veteran Indra Putra Mahayuddin memastikan slot ke separuh akhir menjadi milik Malaysia melalui gol ketiga dengan merembat leret ke arah gawang Singapura yang ketiadaan penjaga gol.

Tamat perlawanan Malaysia 3 Singapura 1.

Keputusan ini menyaksikan Malaysia bakal bertemu juara kumpulan A Vietnam dalam saingan separuh akhir Piala Suzuki AFF 2014 pada 7 Disember di Kuala Lumpur.